Sunday, July 13, 2008

Artikel 2 (13/07/2008)

JURNAL REFLEKSI MINGGU PERTAMA
(07.07.2008 - 11.07.2008)

1.0 Data

1.1 Pengajaran dan pembelajaran.

Pada minggu ini saya telah mula mengajar mata pelajaran Matematik Tambahan Tingkatan 4B, Matematik Tingkatan 3D dan Matematik Tingkatan 3E. Setelah enam bulan tidak mengajar, terasa kekok juga untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi Tingkatan 4B, guru yang mengajar Matematik Tambahan telah lebih sebulan bercuti kerana masalah kesihatan. Namun begitu kelas tersebut diambil alih oleh Ketua Panitia Matematik Tambahan (Pn. Sharifah Habibah bt Rahman) tetapi beliau hanya boleh mengajar pada hari Jumaat sahaja iaitu 2 waktu daripada 4 waktu yang diperuntukkan. Sehubungan itu murid-murid Tingkatan 4B jauh ketinggalan berbanding dua kelas yang lain. Pn. Sharifah memaklumkan bahawa beliau telah mengajar sehingga bab ke-5 iaitu Indices and Logarithmas , maka saya ditugaskan meneruskan bagi bab-bab yang seterusnya.

Hari Jumaat (11.07.2008), saya mula mengajar di Tingkatan 4B untuk mata pelajaran Matematik Tambahan. Sebelum saya meneruskan sessi pengajaran dan pembelajaran, saya menerangkan kepada mereka siapa saya dan kenapa saya berada di SMK Tun Mamat. Soalan pertama saya kepada mereka adalah "Adakah Matematik Tambahan mata pelajaran yang susah?". Tepat jangkaan saya bahawa majoriti murid-murid menyatakan "Susah", malahan ada yang menjawab beliau hanya mendapat 3 markah untuk Peperiksaan Setengah Tahun. Dari pengalaman saya, murid-murid ini tidak mengetahui strategi yang betul untuk belajar Matematik Tambahan. Maka saya pun menerangkan strategi yang boleh diamalkan untuk belajar Matematik Tambahan.

Bagi Tingkatan 3D dan 3E, saya mengambilalih waktu Pengetua untuk mata pelajaran Pendidikan Seni. Tingkatan 3D dan 3E merupakan kelas terakhir jika mengikut kedudukkan kelas-kelas Tingkatan 3. Seperti biasa mengikut pengalaman saya, murid-murid bagi kelas-kelas ini majoritinya tidak begitu gemar untuk belajar terutamanya mata pelajaran Matematik. Perkara ini jugalah yang dimaklumkan kepada saya. Pengetua berharap saya dapat memberikan tunjuk ajar kepada mereka agar mereka lulus dalam peperiksaan PMR (begitu tinggi harapan Pengetua).

Hari Khamis (10.07.2008), saya mula mengajar di Tingkatan 3E untuk matapelajaran Matematik. Guru yang mengajar kelas ini ialah Pn. Norshidah bt Md. Din. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa murid-murid kelas ini sedikit nakal sama ada murid lelaki atau murid perempuan. Apabila saya tiba di kelas tersebut, tiada murid di dalamnya dan setelah lebih kurang 10 minit barulah mereka muncul Saya diberitahu bahawa mereka dari Makmal Sains, namun bilangannya masih belum cukup dan saya meminta salah seorang murid untuk mencari dan memanggil rakan-rakan mereka. Bagi menyelesaikan perkara ini sahaja telah mengambil lebih kurang 20 minit. Saya merasa geram dan marah juga tapi saya simpan sahaja. Setelah semua murid berada di dalam kelas, saya pun menerangkan kedudukan yang sebenar, siapa saya dan kenapa saya berada di SMK Tun Mamat.

Hari Jumaat (11.07.2008), saya mula mengajar di Tingkatan 3D untuk matapelajaran Matematik. Guru yang mengajar kelas ini ialah En. Ariffin bin Ali. Murid-murid kelas ini lebih kurang tahapnya dengan murid-murid Tingkatan 3E, itu yang dimaklumkan oleh En. Ariffin. Sebenarnya pada hari ini dari jam 8.00 pagi sehingga 10.30 pagi mereka terlibat dengan Bengkel Teknik Menjawab Bahasa Melayu PMR dan selepas itu mereka dibenarkan rehat sehingga jam 10.50 pagi, maka waktu pengajaran dan pembelajaran hanya tinggal 20 minit sahaja. Tidak banyak yang dapat saya lakukan cuma dapat menerangkan siapa saya dan kenapa saya di sini.

1.2 Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Pada minggu ini, saya telah mengumpul bebarapa maklumat berkenaan TMK di sekolah ini. Terdapat 4 buah makmal komputer di sekolah ini iaitu Makmal Komputer Sekolah (Makmal Komputer A dan Makmal Komputer B), Makmal Komputer MPV (untuk murid-murid yang mengambil mata pelajaran MPV) dan Makmal(Bilik) Akses (untuk kegunaan guru-guru dan murid-murid). Bagi Makmal Komputer A, Makmal Komputer B dan Makmal Komputer MPV, setiap satu mengandungi 20 unit komputer, sementara bagi Bilik Akses terdapat 10 unit komputer.

Penyelaras bagi Makmal Komputer A dan Makmal Komputer B ialah Pn. Norshidah bt Md. Din, bagi Makmal Komputer MPV ialah Pn. Norharita bt Talib dan bagi Bilik Akses ialah En. Ariffin bin Ali.

2.0 Perhubungkaitan dan Perasaan

2.1 Pengajaran dan Pembelajaran.

Bagi saya untuk mendapatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, kedua-dua pihak murid dan guru haruslah mempunyai minat untuk melaksanakannya. Bagi Tingkatan 3D dan Tingkatan 3E, majoriti murid-murid kurang berminat untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran maka adalah sukar bagi guru untuk memberikan sepenuh komitmen untuk mengajar. Sebaliknya bagi Tingkatan 4B dimana boleh dikatakan semua murid-muridnya menunjukkan minat untuk bersama- sama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran ianya memberi semangat kepada guru untuk memberikan yang terbaik kepada mereka.

2.2 Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Kemudahan komputer di sekolah ini boleh dikatakan mencukupi dan semuanya berfungsi dengan baik. Bagi Makmal Komputer A dan Makmal Komputer B, guru penyelaras dibantu oleh seorang juruteknik untuk urusan penyelenggaraan komputer. Begitu juga bagi makmal Komputer MPV dan Bilik Akses guru penyelaras dibantu oelh seorang Pembantu Am Rendah. Maka urusan kebersihan, keceriaan dan penyelenggaraan bilik dan makmal berkenaan dapat diuruskan dengan teratur dan berkesan.

Kekangan yang ketara di sekolah ini adalah sistem rangkaian, di mana kemudahan untuk melayari internet terutamanya di Bilik Guru amat terhad dan kadang kala langsung tiada. Bagi Makmal Komputer MPV (menurut En. Ariffin) hanya 10 unit komputer yang disambungkan dengan rangkaian untuk melayari internet.

3.0 Membuat interpretasi

Pada pandangan saya, dengan kemudahan komputer yang baik seharusnya penggunaan TMK di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan di sekolah ini. Penggunaan TMK sedikit sebanyak dapat menarik minat murid-murid untuk bersama-sama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Maka sebagai seorang guru saya perlu mencipta aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan mengintegrasikan TMK.

4.0 Keputusan

4.1 Pengajaran dan pembelajaran

Pada sesi pengajaran dan pembelajaran akan datang, saya akan mengambil tindakan berikut :

4.1.1 Merancang sesi pengajaran dan pembelajaran dengan baik.
4.1.2 Memperbanyakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan mengintegrasikan TMK.
4.1.3 Mendampingi murid-murid supaya mereka selesa untuk mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan.

4.2 Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Bagi memantapkan lagi TMK di sekolah ini, saya akan mengambil tindakan berikut :

4.2.1 Menulis dan menyerahkan satu kertas cadangan kepada pentadbir untuk ;
4.2.1.1 Membuat satu rangkaian tanpa wayar untuk meningkatkan keupayaan melayari internet.
4.2.1.2 Mengadakan 'in-house trainning' untuk guru-guru untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka tentang TMK.
Saya berharap dengan tindakan di atas, saya dapat meningkatkan kemahiran dan pengalaman saya sebagai seorang guru dari segi pengajaran dan pembelajaran juga dalam bidang TMK.

Sekian.


2 comments:

ShamsuddinAB said...

Din... bagus din
Aku nak copy boleh ke

Azwari said...

Din... aku tak copy yang kau punya.......